fbpx

Mahkamah: Tiada bukti Syed Saddiq subahat pecah amanah RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhujah tiada bukti menunjukkan Ahli Parlimen Muar itu bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.

Sebaliknya, peguam Gobind Singh Deo berkata, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Menurut peguam bela itu, keterangan yang dikemukakan sebaliknya menjurus kepada fakta bahawa wang RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020 selaras dengan objektif Bersatu antaranya membela kebajikan rakyat.

Ujarnya, Perkara 4.2 Peraturan Armada menyatakan tujuan penubuhan sayap parti itu bagi menganjurkan aktiviti untuk mencapai tujuan dan matlamat Bersatu.

“Wang RM1 juta itu disalurkan bagi membantu rakyat ketika wabak Covid-19 melanda negara selain untuk bantuan pada bulan Ramadan dan persediaan hari raya. Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, dana itu tidak pada bila-bila masa berada dalam kawalan langsung Syed Saddiq atau dibelanjakannya secara peribadi,” kata peguam itu.

Pada masa sama, Gobind selanjutnya berhujah, pihak pendakwaan tidak pernah mencadangkan bahawa Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dana tersebut sedangkan perkara itu amat penting bagi mengaitkannya dengan pertuduhan terhadap Syed Saddiq.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan esok bagi mendengar penghujahan pihak pendakwaan.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram. Beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera, yang merupakan hasil aktiviti haram – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI