fbpx

Mahkamah: Penyelesaian cara baik, lafaz cerai Syamsul – Puteri Sarah 18 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul semasa hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini. Foto oleh Iqbal Rosli

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah Liyana.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd. Rais mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39,

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, pasangan tersebut diperintahkan oleh mahkamah sama, supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie itu memerintahkan demikian selepas keengganan Syamsul untuk menceraikan isteri pertamanya itu.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul pula sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI