ADA sesetengah orang berasakan cakerawala ini berputar di sekelilingnya. Dia berasakan dirinya adalah pusat alam semesta. Jadi apa yang terjadi di sekelilingnya itu adalah terpaling penting.
Biasanya individu sebegini mempunyai daya keterujaan tinggi untuk melemparkan pendapat yang kita sendiri tidak minta. Butiran pandangan itu selalunya ‘harsh’ dan kritikal.
Situasi biasa kita lalui ketika bersama rakan belajar atau sejabatan. Dalam bahasa pasar golongan ini diberi jolokan ‘kepala tahu’.
Hari Raya Aidilfitri sudah tidak lama lagi. Penulis percaya ramai sudah berkira-kira bakal melalui detik-detik kena ‘roasted’ apabila keluarga besar berkumpul.
Tidak kisah isu jodoh, pekerjaan, pandangan politik, isu negara waima pemilihan baju dan kuih raya pun jadi ‘pertikaian’.
Nasihat penulis mangsa-mangsa perlu kekal tenang. Senyum sajalah. Senyum tipis pun jadilah. Fikir bahawa kita bukan berdepan ego kanak-kanak usia dua tahun. Yang sedang melalui fasa perkembangan emosi.
Anggap sahaja IQ mereka belum mula berkembang dan sedang beradaptasi dengan terma bertolak ansur.
Poket koyak tak mengapa. Jika mental koyak risau bermasam muka pula. Hilang roh Ramadan dan Syawal.
Kita pun bukanlah sosok selebriti terkenal Hollywood persis Chris Rock dan Will Smith. Insiden tamparan di Anugerah Akademi ke-94 pada 27 Mac 2022 yang dikenang sebagai titik hitam siaran langsung televisyennya. Mengejutkan.
Pada 4 Mac lalu, Netflix mengeluarkan satu rancangan komedi langsung Chris Rock: Selective Outrage. Ini julung-julung kali Rock, 58, melakukan standup komedi selepas lapan tahun.
Difahamkan, pelawak itu dibayar AS$20 juta (RM88 juta) untuk penampilan tersebut. Kena tampar, tetapi berbaloi.
Dalam konteks lebih kecil, baik sekiranya jiwa sabar ketika Ramadan kita dibawa terus sehingga habis Syawal. Tidak pasal-pasal anak-anak kecil melihat perbalahan orang dewasa. Memalukan.
Kurang daripada dua minggu lagi, anak-anak perantau bakal melakukan pergerakan besar-besaran pulang ke kampung. Semoga Syawal kali ini disambut penuh keteduhan hati.
Mungkin masih terlalu awal untuk mengucapkan selamat hari raya. Sentiasalah amalkan sikap berhati-hati dalam pemanduan. Kebelakangan ini banyak pula kemalangan jalan raya yang meragut nyawa.