PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang menghidupkan enjin sebuah van dari luar kenderaan membawa padah apabila suaminya hampir digilis kenderaan tersebut.
Menerusi video yang dikongsi Aslam Gamers di akaun TikToknya memaparkan suami wanita terbabit sedang berada di bawah van tersebut.
Isteri lelaki itu kemudiannya dilihat muncul dari arah belakang dan menghidupkan enjin van.
Perbuatannya itu hampir menyebabkan kecederaan parah dan menggilis kepala lelaki itu selepas van berkenaan tiba-tiba mengundur.
Aslam menerusi ruangan kapsyen menasihati orang ramai supaya tidak menghidupkan kenderaan manual dari luar.
“Jangan sesekali ‘start’ kereta manual dari luar kereta,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mencela perbuatan wanita terbabit yang dilihat bukan sahaja membahayakan suaminya, malah orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
“Bahaya, nasib baik tangan tak kena gilis. Memang patut kena maki pun,” kata Ameena Amieera.
“Nasib kau baik kak, kalau tak auto jadi balu,” kata Ewan Wancha.
Perkongsian tersebut memperoleh lebih 100,000 tontonan dan hampir 200 komen. – KOSMO! ONLINE.