PUTRAJAYA – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersikap terbuka untuk menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipecat, hari ini.
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai isu pemecatan itu kerana ia membabitkan urusan parti UMNO.
“Saya tidak boleh komen lanjut kerana ia membabitkan urusan parti UMNO namun, jika mereka ingin mohon untuk masuk Gagasan Rakyat, Insya-Allah kita akan terima.
“Kalau mereka mahu masuk mana-mana parti, di Sabah ini banyak parti politik, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Sabah bersama Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di sini malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, tiga ADUN UMNO yang menyokong pimpinan Hajiji semasa berlaku kemelut politik di Sabah pada awal Januari lalu telah dipecat, hari ini.
Tiga ADUN yang dipecat itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Selain itu, ADUN Balung Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.- KOSMO! ONLINE