WOLVERHAMPTON – Kepulangan Frank Lampard sebagai pengurus sementara Chelsea langsung tidak membantu pasukan itu apabila tewas 0-1 kepada Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux malam kelmarin.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan pemain tengah, Matheus Nunes pada minit ke-31 sudah cukup untuk menambah derita juara Eropah dua kali itu apabila hanya dibezakan 12 mata dengan zon penyingkiran.
Lampard menyuarakan rasa kecewa atas kekalahan tersebut selain menyifatkan pemain-pemain Chelsea tidak menunjukkan standard sebenar apabila membenarkan pasukan lawan menguasai sebahagian besar perlawanan.
“Kami tahu kami tidak berada pada kedudukan yang dimahukan dan pasti ada sebab mengapa ia berlaku. Saya tahu mengenai perkara itu, namun ia tidak boleh diselesaikan hanya dalam masa sehari.
“Jika dibuat analisis, saingan Liga Perdana memerlukan corak permainan yang agresif, tempo laju serta aksi kompetitif. Jika tidak, anda akan didominasi oleh pasukan lawan seperti yang berlaku hari ini (kelmarin),” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pemain supaya bermuhasabah bagi mengesan kelemahan sebenar yang dimiliki kerana kehadiran beliau adalah untuk membantu pasukan kembali menemui rentak sebenar.
“Saya datang ke sini adalah untuk membantu dan ini bukanlah kritikan yang mahu menjatuhkan moral pemain. Saya tahu Chelsea memiliki pemain berbakat dan ia ditunjukkan dalam setiap sesi latihan,” ujar Lampard. – AGENSI