PETALING JAYA – Empat buah kereta mewah jenis BMW musnah dijilat api ketika sedang diturunkan daripada lori pengangkut kenderaan dalam satu kejadian di Ara Damansara, tengah malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.30 tengah malam sebelum menggerakkan sembilan orang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi tersebut, laporan awal oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Malik Mat Dui mendapati terdapat kebakaran melibatkan empat buah kenderaaan jenis BMW.
“Kereta-kereta tersebut sedang diturunkan daripada lori pengangkut kenderaan.
“Kesemua kereta yang terdiri daripada jenis baharu dan terpakai itu terbakar lebih 70 peratus, namun tiada mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, api dapat dipadamkan pada pukul 1.10 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE