SHAH ALAM – Perbuatan seorang pengawal keselamatan memukul dua anaknya sehingga cedera memakan diri apabila dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Sasha Diana Sabtu menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh Mohd. Najid Jamal, 41, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan kepadanya.
Sahsa Diana dalam penghukumannya mensabitkan hukuman masing-masing 10 bulan dan enam bulan dengan memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, duda kepada lima orang anak itu didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada dua anak perempuannya sendiri masing-masing berusia 13 dan 15 tahun dalam rumah mereka di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada 4 Januari lalu.
Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Peguam Mohd. Safwan Saleh mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnnya merupakan duda dengan lima orang anaknya tinggal bersama.
“Pendapatannya hanya RM1,200 bagi menyara kehidupan mereka dan mohon pemenjaraan paling minimum dari tarikh ditangkap dan berjalan serentak,” ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh menegaskan sebagai seorang bapa tidak sepatutnya memperlakukan anak-anak sedemikian rupa.
“Ini boleh atau berkemungkinan menyebabkan gangguan emosi melampau kepada mangsa dan memohon hukuman setimpal,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.