fbpx

Cenderahati Kazoku serikan majlis perkahwinan, kenduri, acara korporat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasmayuzi menunjukkan sebahagian daripada contoh cenderahati yang dihasilkan di pejabatnya di Bangi baru-baru ini.

PETALING JAYA – Berkat duit modal yang diperoleh daripada ibu, seorang usahawan wanita ini berjaya membangunkan empayar perniagaannya yang menjual barangan cenderahati bermula secara kecil-kecilan sejak 17 tahun lalu.

Mengambil peluang berniaga dalam industri berasaskan ­majlis khususnya perkahwinan, pertunangan, kenduri dan acara korporat melalui penyediaan barangan cenderahati dihasilkan daripada lilin, tuala kecil, sejadah, sapu tangan, coklat dan biskut telah membolehkan pe­ngasas Kazoku Jaya Enterprise, Hasmayuzi Ariffin bertahan hingga sekarang.

Modal kira-kira RM22,000 yang diterima pada tahun 2006 itu digunakan sebaik mungkin dengan menggunakan kemahirannya yang sebelum ini memang meminati seni halus khususnya jahitan.

Beliau yang sebelum ini bekerja dalam bidang pentadbiran di Kuala Lumpur nekad balik ke kampung halaman di Kelantan untuk memulakan perniagaan baharunya itu.

Menggunakan kelebihan berniaga di destinasi beli-belah di Rantau Panjang, Hasmayuzi bersama suaminya mempromosikan perkhidmatan secara offline dan cuba meneroka bidang pemasaran dalam internet kerana ketika itu internet masih lagi baharu dalam kalangan rakyat negara ini dan juga pasaran tempatan.

 

“Kami membangunkan blog dan portal mempromosikan produk cenderahati di bawah jenama Kazoku Door Gift dan u­saha kami berjaya kerana tempahan pertama diterima daripada pelanggan di Sarawak untuk cenderahati bagi majlis perkahwinan.

“Tempahan hanya 500 unit tetapi ia cukup besar buat kami untuk fasa permulaan dan bermula di situ kami bersemangat untuk terus mempromosikan secara online.

“Selain pasaran di Malaysia, kami berjaya menerima tempahan dari negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Australia sehingga kini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangi baru-baru ini.

Pada fasa awal tersebut, bisnes yang turut dibantu suami­nya, Kamaruzaman Mat Lazim menerima kira-kira 30 tempahan setiap bulan dengan jumlah tempahan minimum yang diterima adalah 100 unit sahaja.

Harga yang dikenakan adalah antara RM5 hingga RM7 satu set.

Antara barangan yang popular yang ditempah adalah cen­derahati yang menggunakan asas air mineral, coklat, kurma, mini dodol, lilin, tuala kecil, sejadah dan baulu yang dimasukkan dalam uncang ketupat yang telah siap ditempah atau dimasukkan dalam kotak, bakul dan botol kecil selain dihias indah dengan bunga-bungaan.

 

Ada juga cenderahati yang ditampal dengan kertas hiasan yang terdapat gambar pengantin, sebagai tanda terima kasih daripada tuan rumah majlis tersebut.

Hasmayuzi menjelaskan, konsep cenderahati yang dihasilkannya mahu menjadikan barangan tersebut dapat diguna semula oleh tetamu, sebagai contoh uncang ketupat adalah sangat praktikal untuk digunakan mengisi duit syiling dan barangan kosmetik untuk wanita.

Barangan tersebut ditempah dari negara seberang dan sekumpulan suri rumah akan membantu menghias setiap cenderahati dengan melekatkan reben, bunga atau kertas ucapan terima kasih dan lain-lain sebagai mempercepat lagi proses menyiapkan tempahan.

“Melalui inisiatif tersebut, kumpulan ibu tunggal ini akan mendapat manfaat daripada pendapatan sampingan yang kami tawarkan kepada mereka setiap bulan,” jelasnya.

Menerima tempahan yang semakin bertambah sejak ekonomi mula dibuka semula, selain pelbagai penganjuran majlis telah memberi rezeki meluas kepada pasangan suami isteri ini yang dibantu oleh kakitangan dalam bidang produksi.

Mengimbau kenangan Rantau Panjang dilanda banjir pada tahun 2022 dan dalam masa yang sama, Hasmayuzi sedang me­ngandung anak keempatnya membuatkan mereka menanggung rugi hampir RM60,000.

Ujian Allah itu dihadapinya dengan hati yang terbuka apabila sekali lagi pada hujung tahun yang sama, destinasi beli-belah itu dilanda banjir semula.

Mereka tetap bangun kembali dengan menggantikan semua barangan yang rosak.
Semangat kental dan soko­ngan padu daripada ibunya, Tuan Salma Tuan Mah, 70, menjadi penguat semangat buat Hasmayuzi melangkah ke depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI