IPOH – Seorang anggota tentera berpangkat Koperal dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum di Gerik, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan anggota berusia 33 tahun itu pada pukul 12.50 tengah malam, semalam.
Katanya, lelaki terbabit merupakan anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Jumaat lalu pada pukul 5 petang ketika anggota tersebut bersama lima rakan lain sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sehingga kini anggota terbabit masih belum dijumpai,” katanya. – KOSMO! ONLINE