WASHINGTON – Kongres Amerika Syarikat (AS) tidak teragak-agak untuk meluluskan arahan bagi konfrontasi ketenteraan secara langsung dengan China sekiranya Beijing melancarkan serangan ke atas Taiwan, lapor laman berita RT kelmarin.
Amaran tersebut dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres, Michael McCaul sebagai mengulas mengenai latihan tentera yang sedang dijalankan oleh tentera China di sekitar Taiwan.
Ia dilaksanakan sebagai tanda memprotes mesyuarat yang berlangsung antara Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy, minggu lalu.
Menurut wakil rakyat daripada parti Republikan itu, penggubal undang-undang di Washington akan bersetuju untuk mengerahkan tentera AS ke Taiwan sekiranya rakyatnya bersetuju.
“Jika tentera China menyerang Taiwan, ia pasti akan menjadi perkara penting yang dibincangkan oleh Dewan Kongres dan rakyat AS.
“Sekiranya rakyat AS menyokong (kerahan tentera), Kongres akan menurutinya. Namun, konflik sentiasa menjadi pilihan terakhir (dalam menyelesaikan masalah),” kata McCaul.
Hubungan antara Washington dan Beijing sebelum ini sering tegang disebabkan oleh lawatan delegasi AS ke Taiwan atau sebaliknya, di mana China menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Beijing sering membantah hubungan baik Taipei dan Washington dengan Kementerian Luar China Rabu lalu memberi amaran bahawa isu mengenai Taiwan adalah ‘garisan merah’ yang tidak seharusnya dilangkau dalam hubungan tersebut.
AS secara rasmi mengakui polisi Satu China di mana Taiwan diakui sebagai sebahagian daripada negara itu. Namun pada masa sama, Washington menjalinkan hubungan tidak rasmi yang baik dengan Taipei serta turut membekalkannya dengan senjata.
Menurut akhbar Wall Street Journal, AS merancang untuk meningkatkan kehadiran tenteranya di pulau tersebut daripada 30 anggota kepada 100 hingga 200 bagi menjadikan Taiwan ‘sukar untuk diserang’.
Dalam pada itu, China mengerahkan berpuluh-puluh jet pejuang dan kapal perang di sekitar Taiwan semalam, pada hari kedua latihan tentera berskala besar dilaksanakan Beijing.
Tindakan itu mencetuskan kecaman daripada Taipei dan Washington, yang mengakui sedang memantau rapat perkembangan tersebut.
Latihan selama tiga hari yang turut melibatkan tindakan mengepung Taiwan itu berlangsung sehingga hari ini, kata Komander Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).
Kementerian Pertahanan Taiwan semalam berkata, ia telah mengesan sembilan kapal perang China dan 58 pesawat di sekitar pulau berkenaan.
Tambahnya, pesawat perang China dikesan sehingga pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) termasuk gabungan jet pejuang dan pengebom.
Media China pula melaporkan bahawa latihan tentera tersebut mensimulasikan serangan yang tepat terhadap sasaran di pulau Taiwan dan perairan sekitarnya. – AFP/Agensi