PETALING JAYA – Petronas diharapkan dapat memberi penjelasan mengenai pemberian wang ihsan yang sepatutnya melibatkan royalti minyak kepada dua negeri iaitu Kelantan serta Terengganu.
Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim berkata, isu royalti itu perlu dijawab oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut dan tidak boleh diwakili oleh mana-mana menteri atau ahli politik.
“Saya nak bercakap dengan Petronas, Petronas kena jawab semata-mata kerana kerajaan memiliki Petronas tidak bererti ahli politik kena jawab, Petronas lah sepatutnya kena jawab.
“Betul ke perjanjian ketika 1974 itu Kelantan dan Terengganu berhak mendapat bayaran tunai untuk minyak yang didapati offshore di luar persisiran pantai Kelantan dan Terengganu?
“Adakah perjanjian itu menyebut tentang ‘teritorial mortgage’, jadi Petronas harus jawab soalan ini, perjanjian 1974 itu jelas,” katanya melalui satu klip video di Facebook miliknya, semalam.
Tambahnya lagi, perjanjian 1974 itu jelas menunjukkan sekiranya minyak dan gas didapati ‘offshore’ yang bermaksud dalam konteks galian itu tidak kira berapa jarak batu yang digali.
“Dulu beria ahli politik nak bayar royalti minyak tetapi bila mereka jadi kerajaan, mereka kata wang ihsan.
“Saya tanya Petronas jawablah wang ihsan itu apa. Apakah Melaka, Negeri Sembilan dapat wang ihsan ini? jawablah apa yang dimaksudkan perjanjian tersebut.
“Saya nak penjelasan. Saya harap Petronas dapat jelaskan perkara ini, jelas lah tapi janganlah cakap wang ihsan, ini bagi saya tidak telus, saya harap pilihan raya yang dekat ini dapatlah dijelaskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE