TEMERLOH – Polis menahan dua remaja lelaki dan menyita 51 buah motosikal dalam operasi Ops Samseng Jalanan yang dilakukan di sekitar bandar Temerloh, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, dalam operasi bermula pukul 1.30 pagi itu, dua remaja berumur 17 dan 22 tahun berkenaan ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya.
“Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
“Dalam operasi ini sebanyak 300 buah kenderaan diperiksa dan polis menyita 51 buah motosikal di bawah seksyen 64 (1) APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur asal,”katanya, di sini hari ini.
Tambahnya, sebanyak 251 notis saman atas pelbagai kesalahan termasuk 36 notis saman kerana tiada lesen memandu juga dikeluarkan.
Menurutnya, operasi yang berakhir pada pukul 6 pagi itu bertujuan untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Operasi ini menyasarkan penunggang motosikal kerana terdapat banyak aduan berkaitan salah laku penunggang motosikal terutama melibatkan pengubahsuaian ekszos dan lumba haram,”ujarnya.