IPOH – Kerosakan paip di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota baru-baru ini tidak berlaku disebabkan oleh aktiviti mengorek pasir di kawasan sekitarnya sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana pergerakan tanah merupakan punca masalah itu berlaku.
“Tiada usaha-usaha untuk menggali pasir di persekitaran rumah pam itu, sebaliknya pergerakan tanah berlaku akibat tanah rebak dari benteng ke sungai.
“Oleh kerana paip terselindung di bawah (tanah) itu, maka ia menyebabkan tekanan dan paip akhirnya pecah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Insiden paip pecah di LRA Teluk Kepayang menyebabkan hampir 80,000 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah terjejas.
Susulan insiden tersebut, Lembaga Air Perak (Perak) membuat kerja-kerja pembaikan paip yang pecah di dalam tanah sebesar 1200 millimeter (mm) dengan ia selesai sepenuhnya pada Khamis lalu.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri sama sekali tidak akan membiarkan aktiviti mengorek pasir di kawasan berhampiran LRA Teluk Kepayang dilakukan. – KOSMO! ONLINE