MELAKA – Perbuatan sepasang suami isteri membuat laporan polis mendakwa anak remaja mereka hilang dari rumah di Jasin dekat sini bulan lalu membongkarkan perbuatan terkutuk mangsa diperkosa sejak tiga tahun lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu yang juga bapa tiri mangsa dan wanita 40 tahun, ibu kandung remaja terbabit diberkas sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, permohonan reman telah dilakukan dan mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 April ini.
Katanya, perintah reman itu telah dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Melaka, Siti Nur Ain Ariffin.
“Remaja terbabit telah membuat laporan polis memaklumkan dia telah dirogol oleh bapa tirinya selama tiga tahun.
“Susulan itu kita telah menahan suspek lelaki dan isterinya sejurus mereka tiba dari Sabah di KLIA2 malam tadi. Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Ujarnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 376B/109 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol dan bersubahat.
“Kita percaya jenayah yang berlaku adalah dalam pengetahuan si ibu, namun siasatan terperinci masih dilakukan. Suspek lelaki merupakan seorang pengawal keselamatan, manakala isterinya peniaga nasi lemak,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan ini, sepasang suami isteri mendakwa anak perempuan mereka berusia 16 tahun telah hilang dari kediaman di Jasin pada malam 17 Mac lalu.
Ibu remaja terbabit turut melakukan pelbagai usaha untuk menjejakinya seperti membuat hebahan di aplikasi WhatsApp, laman sosial Facebook serta menampal poster di setiap stesen minyak dan kedai serbaneka di sekitar pekan Jasin.
Pelajar tingkatan empat itu bagaimanapun berjaya ditemukan di Perak 18 Mac lalu dalam keadaan selamat dan tinggal bersama rakan lelakinya berusia 20-an. – KOSMO! ONLINE