PETALING JAYA – Orang ramai tidak bersetuju dengan bayaran rendah elaun ‘on-call’ RM9 per jam yang diberikan kepada pegawai perubatan kontrak.
Tinjauan di media sosial berhubung laporan muka hadapan akhbar ini mendapati, ramai yang terkejut dan berpendapat jumlah tersebut dianggap tidak masuk akal dengan beban kerja dihadapi golongan itu.
Muhamad Adlan berkata, jumlah tersebut tidak setimpal dengan tugasan berat mereka menjaga dan merawat banyak nyawa tidak kira masa.
“Kita perlu hargai tugas mulia sedangkan guru pun kita tak boleh berkira dalam membayar ilmunya inikan pula tugas menyelamatkan nyawa,” katanya.
Jasley Rahman pula turut berkongsi pengalaman dan menzahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa golongan itu.
“Memang kasihan tengok doktor di hospital. Masa saya tunggu mak sakit di wad, masuk pagi dia ada tengah kerja, petang sampai malam pun masih ada lagi.
“Terfikir dalam hati, lama betul dia kerja. Muka pun nampak penat memang kasihan lihat, muda-muda lagi doktornya,” kongsinya.
Hanif Shahiran berkata, elaun RM9 per jam tidak berbaloi dibandingkan dengan risiko ‘burn out’ dan ‘microsleep’ akibat kelesuan selepas kerja.
“Apabila mereka sentiasa sibuk di hospital, membawa kepada tak cukup rehat dan tidur.
“Beban tugas merisikokan mereka burn out, jika tidak diurus sebaik mungkin ditambah persekitaran toksik akan mengheret kepada penyakit mental,” katanya. -KOSMO! ONLINE