PASIR PUTEH – Perikatan Nasional (PN) akan tetap menggunakan simbol bulan atau logo Pas bagi setiap calon gabungan parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggunaan logo Pas itu akan diteruskan pada PRN selepas mengguna formula tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Menurutnya, sehubungan itu, isu penggunaan logo antara parti gabungan PN untuk bertanding pada PRN akan datang sudah selesai apabila keputusan itu dibuat.
“Dua buah negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu akan terus kekal menggunakan simbol bulan manakala calon di empat negeri lain (Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor) akan guna logo PN.
“Pertemuan pada hari ini (semalam) membincangkan mengenai soal politik dan persiapan bagi berdepan PRN. Agihan kerusi gabungan di enam negeri sudah hampir selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat PN peringkat negeri Kelantan, di sini semalam. – KOSMO! ONLINE