fbpx

Peniaga mercun dakwa PPj ‘pilih kasih’ agih tapak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai pelesenan PPj (dua dari kiri) memberi penerangan kepada peniaga mercun dan bunga api yang membuka jualan tanpa kebenaran sekitar FRP 2023, Presint 3, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA – Beberapa peniaga bunga api dan mercun di sini mendakwa ‘dianaktirikan’ selepas tidak dibenarkan berniaga di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini.

Mereka mendakwa Perbadanan Putrajaya (PPj) hanya meluluskan tiga tapak niaga mercun dan bunga api di sekitar Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) tahun ini.

Seorang peniaga, Wan Mohd Zulhaziq Hafizi Zahari, 30, berkata, pihaknya mendapati salah satu daripada tapak jualan itu diberikan kepada kakitangan PPj sendiri.

Katanya, tahun lalu, enam tapak dibenarkan berbanding tiga tapak tahun ini walaupun banyak lagi ruang niaga boleh disediakan khususnya di sekitar FRP 2023, di sini.

“Kami hanya dibenarkan berniaga di tiga lokasi sahaja iaitu Pasar Presint 8, Bazar Ramadan Presint 9 dan di kawasan perniagaan Presint 15 dengan waktu perniagaan dihadkan antara tiga ke empat jam sehari.

“Kami sudah menyediakan stok mercun dan bunga api melebihi RM50,000 namun, setakat ini jualan kurang memberangsangkan disebabkan lokasi tidak strategik selain sikap pilih kasih PPj,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, PPj menolak permohonan berniaga di sekitar FRP 2023 atas alasan permohonan sudah ditutup dan ruang jualan terhad.

Wan Mohd Zulhaziq berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung isu itu dan tidak akan teragak- agak untuk melapor kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, bagi mengelak terus berdepan kerugian, pihaknya nekad membuka jualan di sekitar FRP 2023 pada kelmarin dan semalam namun, diarahkan tutup oleh PPj.

“Kami memohon PPj supaya meniliti semula masalah ini dan memberi pertimbangan bagi meluluskan tapak jual mercun dan bunga api kepada peniaga lain untuk berniaga di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan, pihaknya akan memberi respon segera mengenai isu itu dalam masa terdekat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI