TURIN – Pengurus Napoli, Luciano Spalletti menganggap dirinya sebagai bertuah untuk bersama pasukan itu selepas berjaya mengukuhkan kedudukan di puncak Serie A apabila menewaskan Lecce 2-1, awal pagi semalam.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-4 kepada AC Milan pada aksi sebelum ini, Napoli kembali bangkit, namun harus membuat penilaian terperinci terhadap keadaan dua pemainnya, Giovanni Simeone dan Victor Osimhen sebelum hadapi aksi suku akhir Liga Juara-Juara.
“Saya bernasib baik kerana berurusan dengan pemain yang tahu menilai tingkah laku. Sangat mengagumkan untuk melihat cara Giovanni Di Lorenzo galas tugasnya, sama ada ketika di padang mahu pun di bilik persalinan.
“Hanya jurulatih bernasib baik mampu memiliki pemain sepertinya dan meraih sesuatu yang terbaik daripadanya. Stadium Via del Mare adalah venue yang sukar untuk kami bermain dan Lecce memiliki rekod baik ketika menentang pasukan besar.
“Jadi, ini adalah keputusan yang membolehkan kami rasa tenang untuk hadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Pada perlawanan semalam, Di Lorenzo membuka jaringan Napoli di babak pertama, namun Federico Di Francesco kembali menyamakan kedudukan sebelum pemain tuan rumah, Antonino Gallo menjaringkan gol sendiri untuk kemenangan Napoli.
Sementara itu, Osimhen kembali ke pangkuan Napoli dalam keadaan tidak cergas selepas mengalami kecederaan otot ketika bersama Nigeria, manakala Simeone yang dimasukkan pada 17 minit terakhir kembali berdepan masalah lutut.
“Kami perlu menilai keadaannya (Simeone) dengan penuh teliti. Osimhen mahu bermain dalam setiap perlawanan, namun kami juga perlu menilainya kerana akan ada risiko kecederaan lebih teruk hingga mungkin terpaksa disisihkan sehingga akhir musim,” jelasnya. – AGENSI