YAN – Kalangan penduduk di sini akur dengan kewajiban menggantikan puasa selepas berbuka awal kerana mengikut laungan azan maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan di sini pada 30 Mac lalu.
Pengawal keselamatan, Yusof Ayob, 60, yang bertugas di sebuah sekolah berdekatan masjid itu berkata, selepas mendengar azan dari masjid berkenaan, dia makan buah kurma dan meminum air.
Bagaimanapun, dia menyedari sesuatu yang tidak kena selepas melihat jam tangan kerana mendapati waktu masih awal untuk berbuka.
“Lebih mengejutkan ialah azan yang dikumandangkan itu hanya pada baris pertama sahaja dan tidak disambung sehingga habis seperti mana biasa.
“Saya akur selepas perlu menggantikan puasa yang terbatal,” katanya yang turut mendengar azan kali kedua dilaungkan dua minit kemudian.
Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian tersebut, dia mendapati pihak pentadbir masjid menyelenggara jam digital di masjid tersebut.
Seorang penduduk, Zahir Hali, 51, berkata, puasanya juga terbatal pada hari berkenaan kerana dia terus minum air sebaik mendengar laungan azan.
“Ketika itu saya membeli kuih di kawasan pekan Yan dan apabila terdengar azan dilaungkan, saya terus berbuka.
“Tetapi saya terkejut kerana azan itu tidak diteruskan seperti mana biasa dan menyebabkan, saya tahu puasa saya telah terbatal kerana makan sebelum tiba waktu berbuka.
“Saya perlu menggantikan puasa yang batal itu,” katanya.
Sementara itu, bagi Suhaimi Yusuf, 45, yang tinggal di Kampung Permatang Keramat di sini berkata, dia dan keluarganya benasib baik kerana tidak berbuka awal selepas mendengar azan dilaungkan pada hari itu.
“Ketika itu saya sedang menunggang motosikal di belakang Rumah Kebajikan Anak Yatim Budi Yan apabila terdengar azan dilaungkan.
“Tetapi saya dapat mengagak berlaku kesilapan teknikal kerana azan tidak diteruskan sehingga habis dan bersyukur apabila sampai di rumah isteri dan dua anak tidak berbuka,” katanya.
Menurutnya, pada kelmarin sebelum menunaikan solat Jumaat, pihak pentadbir masjid turut memaklumkan kesilapan bilal melaungkan azan sebelum waktu sebenar berbuka pada hari kejadian.
“Ia kemudian diikuti dengan kenyataan rasmi melalui sepucuk surat yang diedarkan menerusi kumpulan WhatsApp penduduk di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, pihak pentadbir Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan maghrib, dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.
Menurut Timbalan Pengerusi masjid itu, Ustaz Ahmad Nasir, kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan digital waktu solat di masjid.
“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada.