KUANTAN – “Tiada lawan yang mudah dan Sri Pahang akan tetap berwaspada dengan pasukan Kelantan United.”
Demikian kata pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menjelang aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok.
Fokus utama skuad Tok Gajah itu sudah pasti mahu meneruskan siri kemenangan selepas menewaskan PDRM 2-1 terutama kali ini beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Mempamerkan aksi terbaik untuk menambah derita pasukan pelawat adalah hadiah terbaik buat penyokong.
“Kami mahu teruskan siri kemenangan dan yang lebih penting ialah kami mahu pastikan penyokong lebih yakin dengan pasukan Sri Pahang kali ini”, katanya.
Untuk mencapai matlamat itu, Fandi akan menurunkan kesebelasan terbaik berikutan tiada pemain yang dibelenggu kecederaan serius dan mereka sudah pasti bersedia untuk diturunkan.
Pengendali import dari Singapura itu juga tidak mahu kealpaan minit minit akhir merencatkan usaha memungut tiga mata seperti yang sering berlaku sebelum ini berulang lagi.
Fandi mahu anak buahnya sentiasa kekal fokus hingga wisel penamat dibunyikan dan tidak berasa selesa jika sedang mendahului lawan. – Aszahari Ali / KOSMO! ONLINE