Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR Darul Ta’zim melaungkan amaran bahawa mereka tidak akan memperlahankan prestasi dan mahu menjadikan Kedah Darul Aman FC (FC) mangsa seterusnya pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.
Berdasarkan prestasi semasa, JDT dijangka akan terus mengutip mata penuh di laman sendiri, namun apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah jumlah jaringan yang akan mereka ledak pada aksi berkenaan selepas mengumpul 30 gol dalam tujuh aksi setakat ini.
Menurut pengendali JDT, Esteban Solari, beliau berpuas hati dengan prestasi semasa anak-anak buahnya dan berharap rentak kemenangan itu mampu dikekalkan.
“Setiap perlawanan adalah satu cabaran buat kami untuk meningkatkan mutu permainan. Justeru, pemain perlu memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan. Bukan mudah untuk menang dengan jaringan yang besar dalam masa sama memastikan gawang tidak dibolosi.
“Setiap kali JDT beraksi, ramai yang menjangkakan kami akan berpesta gol. Ada masanya anda boleh menang besar, tapi ada ketikanya bermain dengan teruk. Jadi, saya gembira pemain dapat mengekalkan identiti JDT.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain dengan permulaan liga yang baik apabila menang kesemua tujuh perlawanan, namun rekod itu tidak memberi sebarang makna. Kami hormati KDA, mereka pasukan yang kuat dan pastinya akan menjanjikan pertemuan yang menarik,” katanya.
Dalam pada itu, Solari memberitahu, masih terlalu awal untuk bercakap soal memenangi liga dengan rekod tanpa kalah seperti dilakukan pada musim lalu memandangkan perjalanan liga masih panjang.
“Kami akan beri tumpuan perlawanan demi perlawanan, ini menjadikan pemain lebih berdedikasi. Setiap pemain perlu merendah diri dan perlu menggandakan usaha mereka untuk menjadi pemain yang lebih baik dalam setiap perlawanan,” ujarnya.