CANBERRA – Seorang nelayan di Australia yang diserang buaya sepanjang 4.6 meter berjaya menyelamatkan diri dengan menusuk jari ke dalam mata haiwan tersebut, lapor akhbar Daily Star semalam.
Lelaki berusia 44 tahun itu bernasib baik kerana masih hidup selepas digigit buaya itu sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan dia mengalami patah tulang serta kecederaan parah di kepala, perut dan kaki.
Menurut laporan, mangsa berenang di Archer Point petang semalam iaitu lokasi perkhemahan popular di Semenanjung Cape York, Queensland.
Ketika kejadian, mangsa yang diseret jauh ke dalam air berjaya meloloskan diri dan berenang ke arah batu sebelum pasukan penyelamat tiba.
Dia turut diberi bantuan perubatan oleh sekumpulan enam individu yang turut berenang bersamanya.
Perkhidmatan kecemasan kemudian merawat lelaki tersebut dan menerbangkannya ke Hospital Cairns. Dia kini berada dalam keadaan stabil selepas kejadian tersebut.
Anggota Perkhidmatan Ambulans Queensland, Valerie Noble berkata: “Buaya itu telah menggigit mangsa sebanyak tiga kali dan menyeretnya ke bawah permukaan air.
“Dia menusuk jarinya ke dalam mata buaya itu sebanyak beberapa kali dan melarikan diri ke arah pantai,” katanya.
Jabatan Alam Sekitar dan Sains Queensland memaklumkan bahawa mereka akan menyiasat serangan itu dan mengesahkan sama ada buaya itu masih berada di kawasan itu. – Agensi