fbpx

Kedah tak perlu gentar reputasi JDT – Manuel Ott

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Manuel Ott menjadi salah seorang tunjang KDA FC musim ini. Foto ihsan Facebook KDA FC

KAPTEN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott tidak mahu rakan-rakannya terlalu memikirkan mengenai reputasi besar dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga melupakan fokus kepada kekuatan sendiri apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Pemain kelahiran Jerman yang menyarung jersi kebangsaan Filipina itu berkata, kalangan pemain KDA FC perlu yakin dengan kekuatan yang ada pada mereka untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan itu nanti.

Katanya, JDT selaku juara Liga Super sembilan kali berturut-turut sememangnya diketahui umum sukar untuk dihadapi di ‘rumah’ mereka sendiri.

“Tetapi kami kena yakin dengan segala-galanya yang ada dalam pasukan ini. Kami perlu yakin dengan diri sendiri, perancangan jurulatih dan semuanya tentang pasukan.

“Kami perlu turun ke padang dengan minda yang positif. Dalam masa sama, kami juga perlu berusaha memenuhi perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain kerana beliau pasti memiliki perancangan cukup rapi untuk berdepan JDT,” katanya.

Ujarnya, kehilangan dua pemain pertahanan, Ariff Farhan Md. Isa serta Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman tidak perlu ‘diratapi’ kerana pemain-pemain lain juga diyakini mampu menjalankan tugas dengan baik apabila tiba masanya nanti.

“Bola sepak ini permainan berpasukan dan kita tidak boleh terlalu berharap kepada satu atau dua pemain saja. Saya percaya walau siapa pun yang diturunkan untuk menggantikan mereka, individu berkenaan mampu menggalas tanggungjawab diberi,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengharapkan kepercayaan daripada penyokong untuk terus berada di belakang pasukan tersebut yang baru dibentuk musim ini.

“Semua tahu bahawa pasukan ini baru dibina semula dengan kehadiran ketua jurulatih, pemain dan pengenalan sistem baharu. Ini proses yang memerlukan perjalanan panjang dan bukan berakhir dengan hanya satu perlawanan saja.

“Kalau semua pihak percaya kepada proses yang sedang berjalan, pasukan ini mampu melangkah sangat jauh satu hari nanti. Tak kisah dengan siapa kami berdepan, fokus yang perlu diberikan adalah mengenai pasukan ini dan bukannya pasukan yang bakal ditentang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI