TEL AVIV – Tentera Israel menyerang beberapa sasaran di wilayah Syria selepas tiga roket dilancarkan dari negara itu ke arahnya semalam, lapor stesen penyiaran CNN.
Salah satu roket mendarat di selatan Bukit Golan, kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF), manakala pihaknya tidak perlu memintas roket-roket berkenaan.
“Sebagai tindak balas kepada roket yang dilancarkan dari Syria ke Israel awal hari ini (semalam), artileri IDF kini menyerang wilayah Syria,” kata IDF di laman Twitter.
Israel menawan Bukit Golan dari Syria semasa Perang Enam Hari 1967 dan merampas sebahagian tanah itu pada 1981.
Bukit Golan dianggap sebagai wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pelancaran roket itu berlaku di tengah-tengah ketegangan memuncak di rantau tersebut susulan serbuan polis Israel ke atas masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur.
Israel selain itu menyerang kumpulan Palestin di selatan Lebanon dan Gaza pada Jumaat lalu selepas berpuluh-puluh roket dilancarkan ke wilayah Israel.
Dalam perkembangan berasingan malam semalam, IDF membunuh seorang lelaki Palestin berusia 20 tahun di bandar Azzoun, Tebing Barat, demikian menurut Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin.
Ayed Azam Salim, mati ditembak oleh peluru hidup Israel yang mengenai perut dan dadanya di daerah Qalqilya.- Agensi