fbpx

Guru al-Quran hanya dibayar RM10 sebulan, sekampit gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifin (kanan) di samping Mashitah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf termasuk guru al-Quran kampung pada program Barokah Ramadan Bersama Asnaf di Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Kuala Kedah, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Tiada siapa menyangka guru al-Quran di kampung kebanyakannya hanya menerima sekampit gula dan bayaran RM10 sebulan, sekali gus meletakkan golongan ini dalam kumpulan asnaf.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang terpanggil untuk membantu ‘wira tak didendang’ ini bagi meringankan beban mereka.

“Sedih kerana guru-guru al-Quran di kampung-kampung ini hanya menerima bayaran RM10 sebulan dan 80 peratus daripada mereka tidak menerima bayaran. Ada yang cuma menerima sekampit gula.

“Namun, mereka terus me­ngajar al-Quran kepada anak-anak kampung kerana ini adalah fardu kifayah. Mereka teruskan walaupun hidup dalam kemiskinan, jadi adalah tugas YPPM untuk mengenal pasti mereka dan beri bantuan,” katanya selepas program Barokah Ramadan bersama Asnaf anjuran YPPM bersama Wasiyyah Shoppe Berhad di Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu di Kuala Kedah di sini semalam.

Pada program berkenaan, seramai 120 asnaf termasuk guru-guru al-Quran dan penggali kubur menerima bantuan kewangan sempena sambutan Nuzul al-Quran.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, YPPM mengalu-alukan syarikat korporat seperti Wassiyah Shoppe Berhad untuk turut serta dalam program seperti itu bagi membela nasib golongan berkenaan.

“YPPM bersama Wassiyah Shoppe Berhad merancang untuk terus membela nasib guru al-Quran ini dan kalau boleh kita nak bagi bayaran bulanan atas semua kerja buat mereka.

“Kita sebenarnya terlepas pandang dengan semua kerja yang mereka buat, namun golo­ngan ini terus berbakti,” tambah Mashitah.

Dalam pada itu , Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Arifin Sabirin berkata, pihaknya berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu golongan terlibat terutama ketika membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI