LIVERPOOL – Selepas mengharungi tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kemenangan, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa barisan pemainnya membuktikan sesuatu menjelang pertemuan dengan Arsenal malam ini.
Kedua-dua pasukan menggalas misi penting pada perlawanan tersebut dengan Arsenal mahu mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga, manakala Liverpool berusaha untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Meskipun tidak berada pada prestasi terbaik ketika ini, namun Anfield tetap menjadi kubu kuat The Reds apabila mereka mencatat sembilan kemenangan dalam 13 perlawanan yang berlangsung di stadium keramat itu.
Justeru, Klopp berharap anak-anak buahnya dapat menunjukkan reaksi positif pada perlawanan malam ini selepas mengutip satu mata ketika bertemu Chelsea minggu lalu.
“Kami perlu lakukan beberapa perubahan supaya pasukan dapat bina balik prestasi. Apa yang penting adalah intensiti serta kemahuan dalam diri setiap pemain apabila melangkah masuk ke dalam padang.
“Saya gembira dengan apa yang ditampilkan ketika bertemu Chelsea, namun dalam perlawanan lain, prestasi kami hambar. Oleh itu, saya mahu semua pemain teruskan rentak itu bertemu Arsenal,” katanya.
Bekas pengendali Borussia Dortmund itu juga percaya, suasana di Anfield boleh membantu mereka mendapatkan tiga mata, lebih-lebih lagi Arsenal tidak pernah menang di sana sejak kempen 2012/13.
– AGENSI