PETALING JAYA – Satu perkongsian klip video menunjukkan beberapa anak kapal menunaikan solat tarawih ketika kapal sedang belayar tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 15 saat itu menyaksikan sekumpulan anak kapal menunaikan solat tarawih di atas kapal dalam keadaan laut sedang bergelora.
Melihat kepada keadaan tersebut, ternyata untuk menunaikan solat dalam sebuah kapal bukan sesuatu yang mudah.
Video berkenaan menunjukkan anak kapal perlu menstabilkan kedudukan mereka dalam keadaan kapal sedang bergerak untuk mengelakkan mereka daripada jatuh.
Pengguna media sosial juga turut terkejut dan tidak menjangkakan keadaan seperti itu yang terpaksa ditempuh oleh anak kapal yang sedang bertugas di lautan.
“Bukan satu tugas yang mudah, patutlah gaji mereka mahal, kita tidak sanggup untuk melakukan apa yang mereka buat, bersyukur adanya dengan keadaan sekarang,” kata Epul Rani.
“Walau di mana mereka berada, tetap juga lakukan perintah mereka sebagai umat Islam, tahniah,” kata Azman Hamat. – KOSMO! ONLINE