KUALA LUMPUR – Seramai 20 penumpang bersama seorang pemandu bas ekspres dua tingkat dilaporkan selamat setelah kenderaan terbabit terbakar di Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Fadil Hesam Mohamed berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.23 malam.
“Seramai 17 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kejadian kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres yang dianggarkan terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Fadil, bas tersebut dalam perjalanan dari KL Sentral menghala ke Jalan Tuanku Abdul Halim.
Katanya, kesemua penumpang dan pemandu bas selamat.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 11.47 malam dan padam sepenuhnya pada 12.09 tengah malam manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.