PARIS – Legenda Brazil, Juninho menggesa kapten Argentina, Lionel Messi supaya kembali ke pangkuan Barcelona apabila kontraknya bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) berakhir pada Jun ini.
Bagi Juninho, kepulangan bintang berusia 36 tahun itu ke Camp Nou boleh dilihat sebagai penamat terbaik buat karier gemilangnya daripada berhadapan dengan seteru utamanya, Cristiano Ronaldo dalam kancah Liga Profesional Arab Saudi.
“Messi telah memenangi segala-galanya termasuk Piala Dunia. Namun, orang akan melupakan kejayaan ini kecuali sekiranya dia pulang semula ke Barcelona.
“Ia akan menjadi satu kisah terindah buat para penyokong Barcelona jika dia kembali ke sana dengan kontrak yang berbeza selari situasi (kewangan) kelab itu ketika ini.
“Saya menghormati Liga Profesional Arab Saudi, tetapi keputusan terbaik adalah bersama Barcelona daripada bermain aksi derbi menentang Ronaldo di sana,” kata Juninho.
Barcelona dan beberapa kelab Amerika Syarikat kini menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Messi selepas penyerang prolifik itu masih belum menandatangani perjanjian baharu memandangkan kontraknya cuma berbaki dua bulan di Parc des Princes.
Terbaharu, gergasi Arab Saudi, Al Hilal dikatakan telah menawarkan kontrak lumayan berjumlah lebih €400 juta (RM1.92 bilion) setahun kepada Messi, dua kali ganda daripada gaji diterima Ronaldo bersama Al Nassr iaitu €200 juta (RM960.31 juta) setahun.
Bagaimanapun, pemenang tujuh Ballon d’Or itu didakwa menolak tawaran tersebut kerana masih mahu beraksi di pentas Eropah sehingga tamat kempen Copa America 2024. – AGENSI