JASIN – Bangkai seekor buaya tembaga betina seberat 230 kilogram (kg) ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Umbai di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, kejadian itu dilaporkan oleh orang awam kira-kira pukul 10 pagi.
“Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan pegawai bergegas ke lokasi dan menemui bangkai seekor buaya tembaga di tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan, jantina buaya tersebut adalah betina dengan anggaran panjang 11 kaki dan berat antara 200 sehingga 230 kg,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bangkai haiwan tersebut dibawa ke Zoo Melaka bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Kejadian ini merupakan yang kali pertama kali berlaku pada tahun ini.
“Buaya ini dipercayai dari Sungai Kesang dan menggunakan persisir pantai ini bagi mencari sumber makanan serta pasangan,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Perhilitan negeri meminta agar orang awam tidak bimbang kejadian tersebut dan segera menghubungi agensi itu di talian 06-2345610 / 013-4122589 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan haiwan reptilia berkenaan. – KOSMO! ONLINE