fbpx

Ramai budak sekolah selamba beli vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subbarow menunjukkan vape yang semakin mudah dibeli terutamanya dalam kalangan remaja hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ramai anak muda termasuk golongan remaja dan pelajar sekolah kini bebas membeli cecair berasaskan nikotin untuk gajet vape mereka.

Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, hasil tinjauan pihaknya sejak dua hari lalu mendapati, sebahagian daripada pelanggan kelihatan sangat muda malah ada yang mengaku baharu berusia 14 tahun.

“Hasil sumber maklumat yang diperoleh, kebanyakan pelanggan memberitahu CAP sebelum ini mereka sangat takut untuk masuk ke kedai vape untuk membeli nikotin.

“Walau bagaimanapun, situasi mulai berubah sejak 1 April lalu apabila mereka bebas memasuki kedai-kedai vape.

“Terdapat banyak kedai vape di Pulau Pinang dan situasi ini amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat individu yang tidak berpuas hati dengan duti eksais namun tidak menghalang mereka daripada membeli jus cecair nikotin.

“Selain itu, pengguna vape yang terdiri daripada pelajar bersetuju mereka mendapatkan wang untuk membeli cecair vape daripada rakan dan ahli keluarga.

“Malah, dua buah kedai vape turut mengaku perniagaan mereka tidak terkesan dengan duti eksais sebaliknya meningkatkan jualan vape terutamanya dalam kalangan gadis muda,” katanya.

Dalam pada itu, Subarrow memberitahu, pihaknya bimbang trend itu akan membawa kepada keadaan tidak sihat untuk generasi muda akan datang.

Katanya, vape dan e-rokok ini berkesan membantu mencipta nikotin ketagih generasi baharu malah terdapat banyak peranti vape yang juga boleh digunakan untuk menyedut jenis dadah lain yang diharamkan.

“CAP percaya pertama sekali pendidikan berkaitan vape khususnya buat kedua-dua remaja dan ibu bapa mereka amatlah penting.

“Remaja selalunya memperoleh sebahagian besar pengetahuan mereka tentang vape dan e-rokok daripada media sosial.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengambil langkah segera untuk membendung remaja daripada sewenang-wenangnya membeli nikotin tanpa sebarang masalah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI