TAIPING – Kerajaan Perak telah menaik taraf pelbagai perkara sebagai persediaan bagi menarik lebih ramai pelabur luar negara untuk membuat pelaburan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Mesyuarat Exco dan Jawatankuasa Pelaburan yang lalu, kerajaan negeri telah memperingatkan agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak -pihak berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) dan beberapa agensi lain untuk terlibat secara proaktif dalam mengamalkan piagam mesra pelabur.
“Pada mesyuarat yang lalu, kita telah beritahu kepada mereka yang terlibat agar sentiasa mesra pelanggan dan juga memastikan segala keperluan utama seperti bekalan elektrik, air dan sebagainya hendaklah mencukupi.
“Kita juga turut meminta agar menaik taraf sistem masing-masing bagi memudahkan urusan para pelabur dan setakat ini semuanya telah dilakukan cumanya perkara yang membabitkan hak milik tanah,i anya mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Meriah Raya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak di Pusat Pakaian Hari-Hari Cawangan Kamuning di sini hari ini.
Menurutnya, berkaitan lesen perniagaan dan peraturan PBT, kita nasihatkan untuk sentiasa memudahkan urusan pelabur seperti permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Tambahnya di Perak terdapat pelbagai jenis bentuk pelaburan dan antara yang terbesar adalah dalam bidang automotif iaitu Proton Geely di Proton City selain perusahaan sarung tangan di beberapa tempat di negeri ini. – KOSMO! ONLINE