BARU-BARU ini, peminat drama tanah air kembali teruja apabila pengarah tersohor Rashid Sibir bakal menghadiahkan naskhah istimewanya, Quran Pondok Buruk menjelang ketibaan Syawal nanti.
Khabar gembira tersebut membuatkan ramai ‘kaki’ drama tersenyum, tidak sabar naskhah yang pernah meledak 20 tahun lalu bakal kembali meruntun jiwa.
Masakan tidak, versi 2023 drama tersebut membariskan pelakon asal iaitu Fauziah Nawi, Datuk Rosyam Nor dan Vanidah Imran. Itulah antara drama raya yang sehingga kini lekat dalam ingatan penonton.
Kali ini, Gala menyenaraikan empat lagi drama yang pernah membuatkan penonton berjurai air mata setiap kali Ramadan dan menjelmanya Aidilfitri.
Seputeh Qaseh Ramadan
SEKIRANYA anda peminat aktres Eja, pastinya sedar tentang kewujudan drama air mata Seputeh Qaseh Ramadan yang pernah menjadi fenomena ramai sekitar tahun 2006.
Drama berkenaan mengetengahkan kisah seorang ibu iaitu Qaseh lakonan Eja yang sanggup berkorban demi suami tercinta sehingga dipenjarakan dan terpisah dengan tiga anaknya.
Bukan sahaja air mata, kebencian terhadap Umi (Maimon Mutalib) juga antara yang mencetuskan konflik jalan cerita. Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut membariskan Arash Mohamad, Fahrin Ahmad dan Ifa Raziah.
Berulang-kali ditayangkan, naskhah berkenaan tidak lapuk dek zaman apatah lagi tenggelam dengan naskhah terkini. Antara babak yang paling meninggalkan impak pastinya ketika Qaseh menyuap makanan kepada tiga anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Quran Buruk
DITAYANGKAN sekitar 2004, drama Quran Buruk menjadi karya ikonik sehingga hari ini. Bukan hanya isteri derhaka lakonan Wan Maimunah, Quran Buruk turut mengetengahkan kisah anak derhaka (Fasha Sandha) terhadap bapanya, Imam Adam lakonan hebat Allahyarham M. Rajoli.
Pelbagai ujian dilalui Imam Adam termasuk isterinya berkhalwat dan anak hamil anak luar nikah. Meskipun teguran sudah diberikan, dua beranak itu hanyut dalam maksiat dan sanggup membunuh dengan membakar pondok usang yang tempat ibadah Imam Adam.
Daun Ketupat Kering
DAUN Ketupat Kering mengisahkan seorang ibu lakonan Fauziah Nawi yang mempunyai lima orang anak iaitu Datuk Rosyam Nor, Intan Azura, Ezzany dan Jasmine Ashraf, selain seorang anak angkat iaitu Rusdi Ramli serta menantu (Rita Rudaini).
Keterujaan seorang ibu menunggu kepulangan anak-anak akhirnya bertukar tragedi apabila semua anaknya maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke kampung untuk berhari raya.
Babak paling diingati dan meruntun jiwa penonton semestinya apabila si ibu menerima empat jenazah anaknya yang diusung ke rumah pada hari raya pertama.
Ditayangkan sekitar 2006, drama arahan Rashid Sibur tersebut menjadi satu antara drama ‘wajib tayang’ dan paling menyayat hati untuk ditonton setiap kali tibanya hari raya.
Syurgamu Ramadan
DIARAHKAN Shahrulezad Mohameddin, Syurgamu Ramadan juga antara naskhah tempatan yang paling diingati ramai sehingga kini.
Drama berkenaan menampilkan lakonan hebat Ellie Suriaty sebagai Datuk Halimahtun yang mempunyai konflik keluarga dengan anak perempuannya, Marlia (Eira Syazira) sehingga terpisah bertahun-tahun akibat perkahwinan tanpa restu.
Pertemuan semula Halimahtun dengan cucu-cucunya pula mencetuskan pelbagai konflik dan momen meruntun jiwa.
Bukan sahaja Ellie, drama 15 episod tersebut turut membariskan Ungku Ismail, Zarina Zainoordin dan Elfira Loy sebagai teraju utama, sekali gus membuatkan jalan cerita lebih dramatik sehingga mencengkam emosi penonton.
Syurgamu Ramadan disiarkan sekitar 2010 dan masih menjadi rujukan sebagai sebuah kisah kekeluargaan paling berjaya.