JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kunafa di Bazar Ramadan Jalan Padi Mahsuri di Bandar Baru Uda, di sini tidak kisah disamakan dengan watak Dominic Toretto lakonan pelakon antarabangsa, Vin Diesel dalam siri filem Fast and Furious.
Malahan, Mohamed Ahmed Mahmoud Shokr, 39, mengakui teruja apabila ramai pelanggannya turut meminta bergambar bersama setelah mereka membeli juadah yang dijualnya.
Katanya, persamaan antara mereka turut membantu meningkatkan jualannya sempena Ramadan tahun ini.
“Saya juga menonton semua filem aksi Fast and Furious dan sangat mengagumi bakat aktor Amerika Syarikat itu, tetapi tidak sangka pula ramai kata wajah saya seiras pelakon terkenal tersebut sehingga tular di media sosial.
“Syukur dan gembira kerana saya rasa itu merupakan antara rezeki saya berniaga di sini. Alhamdulillah jualan harian mencegah antara RM400 hingga RM600 setiap hari,” katanya yang berasal dari Mesir itu.
Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu setelah berada di negara ini sejak tahun lalu, namun masih kurang fasih.
“Ini kali pertama saya menyertai Bazar Ramadan di negara ini, Alhamdulillah sambutan sangat baik, orang ramai semua baik-baik dan suasana perayaan amat dirasakan,” jelasnya.
Tambah Mohamed Ahmed, dia ke negara ini untuk bekerja sebagai jurulatih kick boxing di Johor Bahru.
Tinjauan mendapati, majoriti pelanggan membeli kunafanya yang berharga RM10 itu terdiri daripada kaum wanita yang turut meminta bergambar bersama.
Sebelum beberapa kali tular lelaki iras Vin Diesel yang berniaga di negara ini.