GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) dalam tempoh tiga bulan lagi.
Pemangku Ketua Pengarahnya, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, antara punca yang melambatkan penyerahan kapal itu disebabkan kelewatan limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad menerima beberapa kelengkapan utama seperti meriam dari Turki dan peralatan bot dari United Kingdom.
Bagaimanapun menurutnya, hasil daripada Lawatan mengejut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ke tapak pembinaan Kapal OPV 1 di Limbungan THHE di Pulau Indah mendapati, kapal berkenaan akan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihaknya pada 24 Julai nanti.
“Melihat kepada pembentangan dan taklimat yang disampaikan THHE kepada rombongan (menteri), saya yakin OPV 1 dapat diserahkan kepada kita pada tarikh yang diberikan.
“Selain itu, kapal OPV 2 dan 3 dijangka akan kita terima pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mantan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som kecewa susulan tiada sebiji kapal OPV yang diterima pihaknya sehingga beliau bersara pada 16 Mac lalu.
Mohd. Zubil memberitahu, mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserahkan pada Mac manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya. – KOSMO! ONLINE