PETALING JAYA – Gara-gara juadah berbuka puasa tertinggal di dalam rumah serta pintu berkunci, seorang lelaki nekad masuk ke dalam biliknya melalui jeriji tingkap.
Menerusi satu hantaran video oleh Paan Kecewa, menunjukkan setelah puas mencuba, remaja lelaki berkenaan akhirnya berjaya memasuki bilik tersebut untuk mengambil juadah.
Video tersebut meraih minat orang ramai dan rata-rata hairan bagaimana kepala remaja lelaki tersebut boleh melepasi jeriji tingkap yang kecil itu.
“Abang, macam mana abang buat. Kalau saya mesti tak muat masuk ikut jeriji tu,” komen Amsyar Iskandar.
Bukan itu sahaja, ada juga pengguna berasa musykil kerana rumah yang diduduki remaja berkenaan tidak mempunyai cermin tingkap dan hanya ada jeriji sahaja.
“Masalahnya kenapa tingkap dia semua tak ada cermin. Malam-malam tidur tak ada nyamuk ke?,” soal Fatien Najwa.
“Wah, ada penampakan Cicak Man tengah menyelamatkan makanan dan bukakan pintu,” seloroh Shasha.
Perkongsian itu kini tular di aplikasi TikTok sehingga mencecah 30,400 tanda suka, 173 komen dan 685 perkongsian. – KOSMO! ONLINE