BANDAR GAZA – Tentera Rejim Zionis melancarkan lagi serangan udara ke atas Semenanjung Gaza semalam, beberapa jam selepas bedilan roket dilepaskan dari Lebanon ke Israel, lapor portal berita Middle East Eye.
Sekurang-kurangnya lima kawasan terbuka dan kebanyakannya tidak berpenghuni telah diserang oleh tentera udara israel sejurus selepas tengah malam semalam, namun setakat ini tiada laporan tentang kemalangan jiwa, demikian menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Seorang wartawan CNN di Bandar Gaza berkata, dia mendengar bunyi pesawat dan letupan, beberapa minit selepas tentera Israel mengumumkan operasi itu.
Tentera udara Israel mengebom beberapa kawasan di Semenanjung Gaza yang dikawal oleh kumpulan pejuang Palestin.
Menurut tentera Rejim Zionis, jet-jet pejuangnya juga menyerang dua terowong pejuang Palestin di Beit Hanoun dan Khan Yunis bersama dua fasiliti pembuatan senjata Hamas.
Serangan udara itu berlaku ketika kemarahan di seluruh wilayah Palestin memuncak berhubung serbuan polis Israel ke atas jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis Timur, yang merupakan antara tempat paling suci kepada umat Islam pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, peluru berpandu dan roket antibalistik turut dilancarkan dari Gaza sebagai tindak balas dan mencetuskan siren amaran di beberapa buah bandar di Israel dekat sempadan Israel-Gaza.
Terdahulu kelmarin, sebanyak 34 roket dilancarkan dari kawasan dikuasai gerakan Hizbollah di selatan Lebanon ke arah Israel dalam peningkatan ketegangan yang paling buruk antara kedua-dua belah pihak sejak perang Lebanon-Israel pada 2006.
Dalam perang itu, kira-kira 1,200 warga Lebanon dan 165 penduduk Israel terbunuh.
Rejim Zionis bagaimanapun menyalahkan serangan roket yang menyebabkan dua penduduknya cedera sebagai perbuatan Hamas. Kerajaan Hamas mentadbir Semenanjung Gaza.
Namun, Hamas menafikan mengetahui dalang di sebalik serangan itu.
Beberapa minit sebelum Israel melancarkan serangan udara di Gaza, Bilik Gerakan Bersama yang dianggotai kumpulan-kumpulan pejuang bersenjata utama Palestin berkata, pihaknya bersedia untuk menangani sebarang pencerobohan oleh tentera Israel.
Ini berikutan media Israel melaporkan bahawa Rejim Zionis sedang bersiap sedia untuk menyerang Semenanjung Gaza dan Lebanon.
Serangan ke atas Gaza juga berlaku ketika Kabinet Keselamatan Israel masih berbincang tentang tindak balas terhadap bedilan roket dari Lebanon.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tindak balas Israel akan mencetuskan kemusnahan besar terhadap pejuang Palestin.
Bagaimanapun, beliau belum mengumumkan operasi ketenteraan di Gaza atauLebanon. –Agensi