MANCHESTER – Perkembangan terkini pemulihan pemain tengah, Christian Eriksen menggembirakan Manchester United yang sedang memburu kemenangan ke-23 di gelanggang sendiri musim ini ketika bakal melayan kunjungan Everton di Old Trafford malam ini.
Berita tersebut melengkapkan dan memberikan suntikan motivasi buat The Red Devils selepas penggempurnya, Marcus Rashford kembali menemui jaringan ketika menghasilkan gol tunggal untuk menewaskan Brentford, kelmarin.
Ketika ini United terdesak untuk memastikan tiga mata bagi memberikan tekanan kepada Newcastle United dan cuba menjarakkan diri daripada Tottenham Hotspur yang kini hanya dipisahkan tiga mata.
Bagaimanapun, para pemain Erik Ten Hag harus sentiasa berwaspada memandangkan The Toffees juga sedang bermati-matian berjuang untuk memperbaiki kedudukan yang kini begitu hampir dengan zon penyingkiran.
Walaupun cukup merasai ketiadaan Eriksen, Ten Hag sedar United tidak boleh terburu-buru untuk menurunkan pemain tonggaknya itu bagi mengelak keadaan lebih teruk sekiranya dia mengalami kecederaan buat kali kedua.
“Dia (Eriksen) sudah pun kembali menjalani latihan bersama pasukan, jadi kami perlu melihat perkembangan semasanya,” kata Ten Hag mengenai peluang Eriksen kembali diturunkan.
Bintang antarabangsa Denmark itu sentiasa memainkan peranan besar buat The Red Devils sebelum mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi di pusingan keempat Piala FA menentang Reading pada Januari lalu.
Eriksen ketika ini kekal dengan pendekatan positif dan lebih menumpukan kepada proses pemulihan bagi memastikan dirinya mampu berada dalam situasi terbaik sebelum turun ke gelanggang. – AGENSI