MENGIKUT sejarah, baju Melayu direka sejak 700 tahun lalu apabila Sultan Melaka ke-3, Sultan Muhammad Shah mahukan sepelengkap busana rasmi diraja.
Terdapat dua jenis rekaan baju Melayu iaitu cekak musang dan teluk belanga yang menaikkan aura tampan dan gagah si pemakai.
Rekaan yang dihasilkan juga bukan sekadar untuk kelihatan bergaya, sebaliknya busana itu direka dengan nilai falsafah dan pengertian mendalam yang mengangkat kemuliaan Islam dan a ketinggian budaya Melayu.
Baju Melayu cekak musang yang mempunyai lima butang melambangkan lima Rukun Islam. Dua butang atas yang sedikit terpisah membawa makna mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan solat.
Begitu juga falsafah baju Melayu teluk belanga yang mempunyai satu butang melambangkan tauhid, percaya Tuhan yang Esa.
Seiring dengan peredaran zaman, baju Melayu mengalami evolusi dari masa ke masa, sehingga adakalanya perubahan yang diolah itu mencacatkan nilai estetika baju tradisional itu.
Maka, lahirlah baju Melayu dengan rekaan pelik dan tidak masuk akal oleh pereka fesyen yang mahu berlumba-lumba menghasilkan pakaian lain daripada yang lain.
Menurut pereka fesyen, Hatta Dolmat, persaingan antara pereka fesyen yang tidak mahu rekaan mereka kelihatan ‘biasa’ antara punca lahirnya idea-idea ‘pedas’ pada rekaan baju Melayu.
“Segelintir pereka fesyen cuba memberi unsur moden dengan memasukkan elemen antaranya ‘drapping’ pada baju Melayu seperti tidak masuk akal.
“Bagaimanapun, hasil akhir nanti akan memberi jawapan sama ada idea itu menjadi atau tidak. Ada yang suka atau mungkin juga ada yang tidak suka.
“Bagi saya, untuk memberi suntikan kelainan pada baju Melayu, rasanya lebih molek jika kita menghargai budaya semula jadi pada busana itu sendiri dengan kekalkan potongan asas baju Melayu,” tegas Hatta.
Ujarnya, generasi muda perlu menghargai dan mengekalkan warisan itu tanpa mencacatkan rekaan asal yang indah.
“Seperti penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur lalu, timbul beberapa pereka fesyen tempatan yang dilihat tidak menghormati budaya kita. Bersongkok, tetapi berpakaian seksi. Saya boleh katakan mereka umpama ‘melacurkan’ budaya kita. Mereka yang berada dalam industri mungkin tidak akan bercakap kerana anggap ia fesyen.
“Namun bagi saya, sedikit sebanyak rasa kecewa, rasa sakit mata,” katanya.
Perunding gaya selebriti, Dean Ishak pula berpendapat, evolusi rekaan baju Melayu tidak menjadi masalah jika dilakukan untuk tujuan tertentu seperti sesi fotografi atau pertunjukkan fesyen.
Bagaimanapun, jika rekaan pelik itu dikomersialkan, hal itu tidak sepatutnya berlaku.
“Untuk tujuan seperti fotografi, bagi saya tiada masalah. Namun jika untuk komersial, saya tidak bersetuju. Bukannya tidak boleh hasilkan rekaan yang nampak lebih segar, tapi jangan keterlaluan sehingga mencacatkan identiti baju Melayu itu sendiri,” jelasnya.
Justeru, ujar Dean, dia mengingatkan pereka fesyen supaya tidak menghasilkan baju Melayu atas dasar ‘syok sendiri’ yang bukan sahaja tidak mendapat sambutan, malah dikecam masyarakat.
“Apa yang paling penting, jangan ‘merojakkan’ budaya kita. Hargainya untuk generasi dan kesinambungan budaya kita pada masa hadapan,” ujarnya.