PETALING JAYA – Suri rumah berusia 26 ditahan selepas tergamak mendera bayi lelakinya yang baru berusia 10 bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Petaling Utama, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kes itu daripada pihak hospital sekitar pukul 12.28 tengah hari.
“Bertindak di atas maklumat, pada pukul 5.30 petang beberapa anggota dan pegawai telah membuat tangkapan terhadap suspek wanita berusia 26 tahun di kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fakhrudin, bayi lelaki tersebut mempunyai kesan lebam di sekitar tubuhnya dan kini masih dalam rawatan di Hospital Shah Alam.
Katanya, suami suspek tidak ditahan sekali dan kes masih lagi dalam siasatan.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap bayi berusia 10 bulan di rumahnya,” katanya.
Jelas Fakhrudin, suspek telah dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman, semalam.
“Majistret telah bersetuju dan membenarkan tahanan reman ke atas suspek selamat empat harini bagi siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.