PETALING JAYA – Tindakan seorang bapa menggendong anaknya yang sakit di sebuah masjid bagi meminta bantuan meruntun hati orang ramai.
Dalam video yang dikongsi Farhany Tarmidi memaparkan seorang lelaki dipercayai bukan warganegara bersama seorang kanak-kanak yang kelihatan kurus dan tidak bermaya.
Menurut Farhany, melihat keadaan lelaki berkenaan dan anaknya, terdapat beberapa jemaah masjid yang prihatin menghulurkan sedikit wang kepada mereka.
“Alhamdulillah, semua jemaah nampak terus pergi dekat dia. Ada yang berikan duit. Harap dapat bantu dia tak banyak sikit pun jadi,” ujarnya.
Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib dua beranak itu yang diuji di bulan puasa ini.
“Ya Allah, dalam banyak-banyak hal aku tak boleh tengok bila ada budak atau orang yang berlapar. Remuk terus hati. Hal-hal lain tak mengapa lagi,” Nurul Ain.
Perkongsian tersebut memperoleh lebih 800,000 tontonan dan hampir 3,000 komen. – KOSMO! ONLINE