ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM7,000, baru-baru ini.
Menurut sumber, wang rasuah diterima lelaki berusia lingkungan 30-an itu disyaki bertujuan untuk mengubah suai laporan kimia berkaitan kes dadah.
Katanya, suspek ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di sebuah stesen minyak di sini.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada pagi ini dan Majistret, Nurul Huda Idris mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 April depan.
“Dia dipercayai menerima wang rasuah RM7,000 sebagai balasan mengubah suai laporan kimia berkaitan kes dadah supaya kes diturunkan kepada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut, namun enggan mengulas lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE