SHAH ALAM – Pengagihan pakaian raya percuma kepada 500 pelanggan kedai pakaian Starvilion di Seksyen 7 di sini, berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan hari ini.
Semua baju Melayu, kurta dan tudung itu selesai diinfaqkan dalam tempoh 30 minit bermula sejak pukul 9 pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan premis itu dengan beratur sepanjang hampir 400 meter seawal pukul 7 pagi.
Pemilik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Starvilion Sdn. Bhd., Ajwad Khan Nasir Khan berkata, pihaknya bersyukur program Infaq SamasamaKitaRaya itu tidak berlaku kekecohan seperti minggu minggu lalu.
Kata beliau, pihaknya mengakui kelemahan pengurusan mengenai sistem pengagihan dan memohon maaf atas insiden tular itu sebelum ini.
“Namun, kami kali ini sudah menyusun sistem agihan sebaik mungkin dengan turut menyediakan kupon bernombor dan khemah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan turut dikawal anggota polis sepanjang program infaq tersebut,” katanya ketika ditemui di kedai itu.
Kosmo! minggu lalu melaporkan suasana kedai itu bertukar kecoh apabila diserbu orang ramai yang berebut mahu membeli pakaian berharga RM1.
Siasatan polis mendapati insiden berlaku ekoran premis itu membuat promosi pembelian pakaian kepada 100 pelanggan terawal namun lebih 500 pengunjung membanjiri kedai itu sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan.
Bagi pelanggan, Ahmad Nazeem Rahim, 39, dia bersama isterinya mula beratur di barisan yang disediakan premis itu seawal pukul 6.30 pagi.
“Kami gembira kerana berjaya mendapat pakaian raya percuma itu selepas gagal memperolehnya akibat kekecohan minggu lalu dan suasana kali ini nyata berbeza dan dilihat lebih teratur dengan turut dikawal ketat pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan situasi lokasi kedai berkenaan dalam keadaan terkawal. – KOSMO! ONLINE