KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sivil di sini, membenarkan saman yang dikemukakan syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. terhadap pelakon Amelia Henderson berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati Amelia selaku defendan dalam saman itu secara jelas telah melanggar terma-terma kontrak dalam filem Sekali Lagi Cinta Kembali.
Dalam prosiding hari ini peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku plaintif manakala Wan Nurliyana Abdul Rahman mewakili Amelia selaku defendan.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini, media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
A. Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekaligus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE