PETALING JAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui anak syarikatnya, UPM Holdings Sdn. Bhd. (UPMH) merancang untuk memberi tumpuan terhadap bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam usaha menjana pendapatan menuju ke hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Reza Aziz berkata, ia termasuk dalam usaha penanaman semula hutan, pengkreditan karbon dan juga pembekalan anak pokok hutan, yang mana UPM memiliki kepakaran yang disifatkannya sebagai yang terbaik di negara ini.
“Inisiatif ini dapat menambah pendapatan sehingga RM10 juta sehingga RM20 juta dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki UPM dalam bidang perhutanan.
“Bukan itu sahaja, kami turut berusaha untuk meneroka perniagaan klinik veterinar yang menggunakan kepakaran hospital veterinar di UPM bagi meningkatkan pendapatan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk tahun lalu, UPMH memberikan dividen RM235,000 kepada UPM, menjadikan jumlah dividen terkumpul yang dibayar oleh UPMH sejak penubuhannya pada 2004 sebanyak RM 11.7 juta.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, anak syarikat UPM itu mampu bersaing di pasaran sebagai jentera untuk menambah sumber kewangan kepada universiti.
“Prestasi ini merupakan satu kemajuan bagi tahun 2022 dan setelah bergelut selama beberapa tahun, kini inisiatif perniagaan yang dilaksanakan mula memberikan pendapatan serta menjana keuntungan,” katanya. -KOSMO!ONLINE