PETALING JAYA – Hasrat penyanyi Tom memiliki cahaya mata bersama suami iaitu Fuad Rahman masih belum tercapai apabila mengalami keguguran pada Selasa lalu.
Menurut Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, keguguran berlaku ketika usia kandungannya mencecah tiga minggu.
“Sebenarnya saya baru mengalami keguguran dua hari lepas.
“Kandungan pun baru masuk tiga minggu. Mungkin belum ada rezeki kami,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan program raya Astro 2023, di sini semalam.
Ketika mendapat tahu tentang kehamilan tersebut, Tom sudah membuat beberapa persiapan seperti merakam video untuk berkongsi khabar gembira itu bersama peminat namun tidak kesampaian.
Pelantun lagu Redha itu juga tidak menolak andai keguguran yang dialami mungkin disebabkan gaya hidupnya yang terlalu aktif sebelum ini.
“Ketika dapat tahu hamil, kami sudah rakam video nak kongsikan kepada peminat tetapi tiba-tiba saya mengalami pendarahan. Apabila saya buat pemeriksaan, doktor kata saya bayi sudah tiada.
“Mungkin kandungan masih baru lagi dan senang nak ‘jatuh’. Saya pula jenis seorang yang aktif seperti buat aktiviti meluncur air,” jelasnya.
Reda dengan ketentuan Tuhan, pasangan itu bagaimanapun memberitahu akan lebih bersedia sekiranya ingin menimang cahaya mata selepas ini.
“Tidak mengapa, tiada rezeki. Insya-Allah selepas ini kami rancang betul-betul dan jika ada rezeki kami terima.
“Mungkin selepas ini kami juga akan lebih bersedia dan stabilkan dahulu kehidupan sebelum memiliki zuriat bersama,” jelasnya.
Sekadar info, Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 26 Februari lalu di Batam, Indonesia.
Pasangan itu sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar 2005 namun ikatan itu terputus pada 2010 apabila Fuad ditahan pihak polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Cinta mereka kembali bertaut selepas sama-sama terlibat dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) tahun lalu. – KOSMO! ONLINE