KUALA LUMPUR – Siasatan kes skim penipuan pelaburan ‘planetrade’ membabitkan lebih RM17 juta wang pelabur, polis berjaya menahan tiga lelaki dan enam perempuan termasuk dalang dalam skim tersebut.
Kesemua warga tempatan yang ditahan itu terdiri daripada pengarah syarikat, pelabur dan mangsa skim sendiri yang berperanan sebagai penerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, bermula Januari 2021 sehingga sekarang baru 92 laporan polis diterimanya membabitkan nilai kerugian terkumpul RM17.5 juta.
Katanya, suspek utama yang ditahan telah didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 beserta seorang lagi pengarah syarikat skim tersebut juga didakwa di bawah 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sekayen 420 Kanun Keseksaan.
“Baki tujuh suspek yang ditahan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Noorsiah, PDRM turut membekukan aset-aset suspek antaranya enam buah kenderaan yang bernilai anggaran RM 1.165 juta serta 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan.
“Hasil siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan keganasan
(AMLATFPUAA) 2001 juga berjaya membekukan 27 akaun bank berjumlah RM700,533,” ujarnya.
Noorsiah memberitahu, pihaknya menjalankan siasatan dengan terperinci dan menyeluruh bagi membuktikan usaha membanteras kegiatan pelaburan ini.
“Kesemua suspek yang ditahan mempunyai penglibatan dan peranan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan ini.
“PDRM menggesa orang ramai yang menjadi mangsa tampil ke balai polis berdekatan segera serta menasihati agar menyelidik dahulu skim pelaburan yang memberikan keuntungan lumayan sebelum menyertainya.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM), dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.
Terdahulu, Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) menerima sebanyak 330 aduan berhubung penipuan pembelian saham melibatkan kerugian lebih RM100 juta sejak tahun 2021.
Katanya, kesemua mangsa menyatakan bahawa mereka tertarik dengan tawaran saham ini apabila dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.8 peratus setiap bulan kepada setiap ‘subscriber’ yang membeli saham tersebut. -KOSMO! ONLINE.