SHAH ALAM – Pemansuhan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah tidak sesuai dalam memberikan kebebasan kepada mahasiswa secara
keseluruhannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan dalam AUKU mengenai kebebasan termasuk akademik atau pensyarah sewaktu menulis, memberikan pandangan dan kritikan boleh diperhalusi.
“Namun, beberapa peruntukan lain itu penting, jadi kalau batalkan, saya fikir tidak sesuailah.
“Makna, kita boleh pinda beberapa peruntukkan yang perlu diperjelaskan,” katanya pada sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa wakil gerakan pelajar menekan agar pemansuhan AUKU secara keseluruhan yang didakwa antara manifesto Pakatan Harapan (PH).
Berhubung Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dihalang berdialog dengan pelajar UiTM baru-baru ini, Anwar menegaskan beliau bersifat terbuka namun perlu ikut peraturan.
“Kena maklum, kena beritahu dewan mana, itu sahaja. Tapi saya tidak fikir kita harus sekat melainkan ada sikap yang membawa pemusuhan kaum atau agama.
“Itu tegas, saya tidak peduli. Saya tetap menyatakan supaya keselamatan negara terkawal. Tiada tolak ansur,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE