PETALING JAYA – Serangan tentera Israel ke atas umat Islam di Masjid Al-Aqsa di Palestin pada setiap bulan Ramadan perlu dikutuk sekeras-kerasnya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seluruh dunia Islam amat sedih dan marah dengan kekejaman yang dilakukan itu seperti tidak berkesudahan terhadap saudara Islam di Palestin.
“Kejadian tahunan pada bulan Ramadan tidak lain adalah tindakan yang disengajakan yang tidak boleh dimaafkan, tidak sopan dan kurang ajar.
“Ia adalah pelanggaran berat hak sivil kepada kemanusiaan yang bermaruah dan kebebasan untuk melakukan ibadat tanpa membahayakan orang lain,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini malam ini.
Ujarnya, sejak awal tahun ini, rejim Zionis yang melampau telah berkuasa dalam entiti Israel, rakyat Palestin mengalami ketegangan dan kebimbangan disebabkan oleh pelbagai dasar sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Israel.
“Semua dasar di bawah rejim Israel seperti sekatan, pencerobohan dan serangan yang ditujukan kepada Palestin adalah dahsyat dan mesti dihentikan segera.
“Serangan ke atas Al-Aqsa bukan sahaja mencabul kesucian Islam sebagai tapak suci, malah ia juga melangkaui hak asasi rakyat Palestin dalam melaksanakan hak beribadat.
“Ia adalah satu tindakan keterlaluan untuk menyerbu tempat suci dan menyerang mereka yang tidak bersenjata yang hanya melakukan ibadah,” tambahnya.
Beliau juga menuntut supaya dihentikan segera provokasi dan serbuan ganas terhadap para jemaah di Al-Haram dan Al-Sharif.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti memainkan peranannya dalam mengurangkan ketegangan dalam kekacauan ini, dan kami membantah penahanan rakyat Palestin yang tidak bersalah daripada serbuan ini.
“Kami berdiri dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan kami ingin menegaskan semula kepentingan Masjid Al- Aqsa sebagai kawasan suci buat umat Islam,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya kita harus berusaha untuk hidup bersama secara aman, menghormati kepercayaan antara satu sama lain dan memberikan layanan berperikemanusiaan atas nama kebajikan. – KOSMO! ONLINE